Selalunya sehabis sahaja selesai menjawab kertas peperiksaan dan keluar dari dewan peperiksaan kebanyakkan calon akan berkumpul beramai-ramai dan berbual antara satu sama lain untuk bertanyakan tentang kertas yang telah mereka jawab. Hal ini kerana mereka ingin mengetahui sama ada apa yang telah mereka jawab itu betul atau salah berdasarkan pendapat kawan-kawan lain.
Jangan Buat Post-Mortem Terlalu Awal
Selagi keseluruhan
peperiksaan belum tamat sehingga kertas terakhir, calon tidak digalakkan
membincangkan apa-apa soalan berkaitan kertas peperiksaan yang diduduki.
Kerisauan pasti berlegar di benak fikiran apatah lagi jika jawapan yang
diberikan rakan berbeza dengan apa yang telah dijawab sebelumnya. Kadang-kadang
hal begini mempengaruhi pemikiran calon sehingga terbawa ke mimpi. Sudah tentu,
tidur yang terganggu oleh mimpi-mimpi yang menakutkan akan memberi kesan
terhadap produktiviti kesegaran anda untuk menjawab kertas-kertas seterusnya.
Tenangkan Fikiran Dan Berikan Tumpuan Terhadap Kertas
Peperiksaan Lain
Tarik nafas panjang-panjang
dan hembuskan dengan tekad bahawa anda telah berjaya dengan misi anda untuk
mencapai kejayaan. Seterusnya niat dalam hati bahawa anda ingin meneruskan
matlamat perjuangan seterusnya iaitu untuk mencapai kegemilangan yang lebih
membanggakan dengan menumpukan seluruh perhatian kepada kertas peperiksaan yang
lain. Jika hal ini berlaku, anda akan sentiasa berada dalam zon selesa dan
tidak mudah gundah dengan apa masalah sekalipun walaupun hakikatnya kertas yang
bakal anda hadapi agak sukar. Namun kesukaran itulah sebenarnya keseronokan
yang akan anda ingati setelah berada di puncak kejayaan .
Yakin Bahawa Anda Telah Membuat Yang Terbaik
Tetapkan pendirian bahawa
anda telah membuat yang terbaik dalam menjawab kertas peperiksaan sebelum itu.
Pendirian tanpa berbelah bagi ini sekaligus menggerakkan naluri anda untuk
terus mencipta kejayaan. Kata orang, jika positif di minda mencanai pemikiran,
maka hasil selepas itu bakal lebih elok malah semakin baik. Kekalkan azam,
buangkan prasangka dan wujudkan keceriaan dalam diri anda. Kekuatan dalaman
inilah yang seharusnya ada dalam diri setiap calon yang mengambil apa saja
ujian dan peperiksaan.
Bertenang Dan Lakukan Aktiviti Riadah Sebelum Menghadapi Kertas Peperiksaan Lain
Tidak kurang pentingnya jika
anda melakukan sedikit aktiviti riadah dengan melakukan hiking, berjalan-jalan
di taman sambil menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan. Lupakan sejenak apa
yang akan hadapi pada esok hari. Tenangkan diri dan hilangkan daripada
pemikiran anda segala kerisauan dengan menghirup udara segar dan beriadah
dengan teman-teman. Yang penting fokus kepada matlamat anda dan buktikan
kehebatan bahawa anda boleh berjaya seperti pelajar lain.