Setiap orang mempunyai masa untuk belajar dan mengulangkaji pelajaran. Ada yang suka belajar waktu selepas subuh, malam dan ada juga yang memilih belajar pada waktu petang. Sebenarnya bukan mudah untuk belajar pada waktu petang kerana bagi mereka yang bersekolah sesi pagi tentu akan memeritkan daya fikiran untuk menyambung mengulangkaji pelajaran.
Di sini disertakan beberapa tips dan panduan untuk pelajar cuba mengulangkaji pada waktu petang yang sekurang-kurangnya akan mengurangkan masalah menumpukan perhatian anda selama ini.
Panduan Belajar Pada Waktu Petang
Merehatkan Diri Sebentar
Setelah balik dari sekolah, ada baiknya berehatlah sebentar sebelum meneruskan sesi ulangkaji. Sebaik-baiknya tidur sekejap dalam lebih kurang setengah jam. Menurut kajian pakar psikologi, tidur sebentar pada waktu petang sebenarnya mengurangkan ketegangan kerana tempoh waktu tersebut sebenarnya banyak memberi tekanan dari aspek persekitaran dan kekuatan minda. Selepas setengah jam, buatlah persiapan secukupnya kerana pada ketika ini, anda akan dapat menumpukan daya fikiran setelah tidur yang mengurangkan ketegangan.
Banyakkan Minum Air
Kebiasaannya waktu petang
mengalami persekitaran panas dan kurang selesa dan cara paling baik untuk mengatasinya
ialah banyakkan minum air masak. Menurut pendapat pakar pemakanan, air yang
diminum sekurang-kurangnya mestilah 8 gelas terutama waktu panas membenarkan
kitaran peredaran darah yang normal. Kesannya, situasi tidak selesa dapat
diatasi kerana janaan idea akan terhasil daripada tubuh badan yang sihat.
Jangan Paksa Diri
Setelah bersedia, belajarlah
dengan tenang. Penyediaan jadual belajar yang menetapkan tempoh masa tertentu
sebaiknya diikuti dengan baik. Namun, jangan gopoh untuk memasukkan semua ilmu
ke dalam minda. Fahami setiap perkara yang telah dipelajari di sekolah.
Sebaiknya banyakkan bersabar,
sekiranya dalam keadaan tertekan rehatkan diri dengan melakukan perkara lain
seperti menonton tv, membantu ibu atau bermain game untuk menenangkan fikiran
sebentar. Apabila sudah reda, baru kembali semula belajar.
Fokus Dan Tetapkan Matlamat
Fokus merupakan perkara
paling penting yang harus diberikan perhatian. Semuanya hadir dari dalam diri
anda. Gangguan persekitaran akan sentiasa mengganggu tumpuan tetapi anggaplah
itu sebagai cabaran sebelum mencapai kejayaan kemudian. Yakinlah diri bahawa
belajar sebelah petang juga boleh menerima ilmu dengan baik.
Pelbagaikan Cara Belajar
Jangan hanya bergantung
kepada satu teknik belajar sahaja. Dikhuatiri akan menyerlahkan kebosanan untuk
terus belajar. Mungkin sesekali anda
boleh menukar cara belajar dengan menjemput rakan-rakan menyertai sesi
perbincangan.
Diskusi ini sebenarnya lebih
baik jika setiap daripada ahli kumpulan mengambil bahagian dalam perbincangan.
Mungkin ada maklumat yang tidak sempat dibaca dapat disampaikan oleh
rakan-rakan lain. Suasana tentu lebih interaktif dan menyeronokkan selain
merapatkan hubungan silaturahim antara kawan.
Bukan Semua Subjek Sesuai
Pada waktu petang bukanlah
masa yang sesuai untuk aktiviti menghafal atau mengingat terutama bagi subjek seperti Sejarah. Sebaliknya
subjek yang melibatkan pengiraan seperti latihan Matematik, Prinsip Akaun,
membuat graf, peta dan sebagainya lebih sesuai dilakukan pada waktu petang.
Anda juga boleh membuat soalan-soalan tahun lepas, latih tubi, karangan atau
sebagainya.