30 Apr 2023

Fakta–Fakta Menarik Dan Ringkas Tentang Tenaga Nuklear

Tenaga Nuklear mula ditemui oleh pakar-pakar sains barat pada akhir tahun 1930-an. Sebenarnya nuklear ialah bahan tenaga yang paling murah. Satu kilogram uranium yang boleh diproses bagi mengeluarkan isotop dan sumber tenaga, jauh lebih murah jika dibandingkan dengan satu kilogram minyak petrol ataupun arang batu. Ia merupakan alternatif yang cukup sesuai bagi mendapatkan bahan tenaga yang stabil selain minyak, arang batu, hidro, gas, dan sebagainya.

 


Proses Pengeluaran Tenaga Nuklear cukup memeningkan kepala ahli-ahli sains, ahli ekonomi dan pemimpin-pemimpin politik di banyak negara sama ada negara maju mahupun membangun. Hal ini kerana proses pengeluaran tenaga nuklear memerlukan teknologi yang tinggi,  kos penyelenggaraan yang cukup besar, kepakaran, dan kemahiran yang cukup ramai dan risiko yang cukup mencabar.

 

Kekuatan Tenaga Nuklear biasanya diukur menerusi ujian yang diadakan di tempat-tempat terpencil. Ujian-ujian nuklear pula biasanya disusuli oleh demonstrasi dan tunjuk perasaan  daripada golongan yang menyifatkan diri mereka sebagai anti-nuklear.

 

Pada Tahun 1986, Amerika Syarikat mengadakan ujian nuklear bawah tanah di padang pasir Nevada. Jabatan Tenaga mengumumkan bahawa kekuatan tenaga itu dianggarkan bersamaan dengan 20 hingga 150 kilo tan. Hal ini bersamaan pula dengan kekuatan 20,000 hingga 150,000 tan bahan letupan biasa. Bahan nuklear yang diuji itu ditanam 6.10 meter di bawah padang pasir Nevada. Tetapi kerana letupan itu terlalu kuat, ia mampu menggegarkan permukaan padang pasir.

 

Menjelang Tahun 2000, dianggarkan 50 peratus bekalan tenaga elektrik di negara-negara perindustrian menggunakan nuklear. Semakin banyak negara yang menyedari kepentingan tenaga nuklear berlumba-lumba menjadi juara dalam mengembangkan industri yang berasaskan tenaga nuklear. Lebih banyak stesen atau loji nuklear sedang beroperasi di seluruh dunia.

 

Pada 26 April 1986, loji tenaga elektrik yang menggunakan nuklear milik Rusia di Chernobyl, Ukraine telah meletup. Letupan itu ditafsirkan bersamaan dengan 30 juta tan letupan bom atom. Para pakar menganggarkan pencemaran radioaktif akibat letupan tersebut boleh merebak beribu-ribu kilometer jauhnya dari tempat letupan itu.

 

Kemalangan Atau Kebocoran Loji Nuklear sama ada  yang dibina untuk mengeluarkan tenaga elektrik mahupun bagi tujuan penyelidikan sudah pasti membawa kesan buruk menurut pandangan sains.

 

Bahan Radio Aktif boleh  meninggalkan kesan kepada kesihatan manusia baik dalam jangka panjang mahupun pendek. Hal ini kerana bahan tersebut mengambil masa yang cukup lama untuk mengalami proses peneutralan. Semua bahan pertanian dan penternakan yang terkena bahan radio aktif akan membahayakan kesihatan awam.