30 Apr 2023

Cara Dan Panduan Menajamkan Minda Untuk Pelajar

Ketajaman minda  merupakan perkara yang menjadi aset seseorang yang membezakan tahap berfikir antara satu sama lain. Sebenarnya terdapat banyak cara untuk menajamkan minda tetapi cara yang paling mudah dan berkesan adalah dengan banyak membaca.



Membaca membuatkan fikiran kita sentiasa berfikir dan berjalan. Ia tidak memerlukan kos yang tinggi kerana bahan-bahan bacaan boleh diperolehi di mana-mana sahaja asalkan rajin untuk membacanya. Sudah tentu kita semua berhasrat untuk mempunyai minda yang tajam dan dapat berfungsi dengan baik kerana mempunyai minda yang lancar akan menyerlahkan keperibadian diri dalam menangani sesuatu perkara.


Di bawah ini terdapat beberapa cara untuk menajamkan lagi minda anda dalam mengharungi hidup di zaman yang semakin mencabar ini dan sekiranya diamalkan hasilnya akan terserlah kemudian.

 


Panduan Menajamkan Minda

 

Membaca Suratkhabar Setiap Hari


Dengan membaca anda boleh mendapat banyak maklumat yang diperlukan. Berita dan isu-isu semasa yang disiarkan dalam akhbar setiap hari meliputi banyak perkara dari seluruh dunia. Bahkan ada maklumat di dalamnya yang tidak terdapat di mana-mana  bahan bacaan lain. Suratkhabar melaporkan pelbagai kisah masyarakat, politik, sukan, pergolakan dunia, dan sebagainya. 


Sebab itulah setiap orang digalakkan supaya membaca suratkhabar setiap hari kerana semua maklumat boleh didapati. Secara tidak langsung pengetahuan anda tentang sesuatu perkara juga bertambah  dan mampu melahirkan idea-idea yang bernas.

 

Rajin Ke Perpustakaan


Perpustakaan merupakan gedung ilmu dan tidak salah rasanya ungkapan ini kerana sememangnya di perpustakaan terdapat banyak buku  dan bahan bacaan lain yang boleh didapati di dalam satu bangunan. Tetapi untuk memperoleh setiap maklumat itu kenalah rajin mengunjunginya dan mencari bahan yang diperlukan.

 

Tonton Rancangan Teleisyen Yang Bersifat Pengetahuan


Terdapat banyak rancangan yang bersifat pengetahuan dan pendidikan yang ditayangkan di kaca televisyen melalui ASTRO seperti National Geographic yang memaparkan tentang kehidupan dan alam sekitar, binatang liar, tamadun manusia dan sebagainya. Rancangan begini banyak membantu kita menilai semula diri dan mengungkap pelbagai rahsia kehidupan yang tersembunyi.


Selain itu TV Pendidikan melalui ASTRO juga merangkumi pendidikan dari Tahun 1 sehingga sekolah menengah yang memudahkan pelajar sekolah untuk mengulangkaji dan menambah pengetahuan selain menimba ilmu di sekolah. Dokumentari tempatan juga banyak manfaatnya terutama bagi meningkatkan pengetahuan tentang negara kita.

 

Bersikap Aktif


Tidak kira di mana sahaja anda berada, jangan amalkan sikap berdiam diri dan kelihatan pasif. Cara ini boleh membantu anda bertindak bijak dalam setiap situasi. Minda anda juga akan sentiasa memikirkan jalan terbaik untuk menyelesaikan sesuatu perkara dan dapat memperbaiki setiap kelemahan diri anda.

 

Melibatkan Diri Dalam Aktiviti Lasak


Ini juga merupakan salah satu cara untuk menajamkan minda anda. Dengan penglibatan minda anda dalam aktiviti begini, dapat membantu anda cara-cara untuk mengawal diri dalam setiap keadaan atau situasi. Sudah semestinya anda akan berfikir untuk melepasi setiap halangan yang dihadapi agar boleh meneruskan perjalanan ke tempat yang dituju dengan selamat.

 

Berbual Tentang Perkara Yang Dapat Membina Minda


Jangan berbual kosong sahaja sebaliknya cubalah berbual tentang perkara yang boleh mengembangkan minda. Misalnya, berbincang tentang pergolakan yang berlaku di seluruh dunia atau isu-isu semasa seperti gejalah dadah, jenayah dan masalah sosial remaja. Perbualan seperti ini boleh membantu anda untuk berfikir tentang perkara lain selain daripada keseronokan diri sendiri sahaja.

 

Pergilah Mengembara


Kata orang, jauh berjalan luas pemandangan. Berkunjung ke tempat orang pasti memberi banyak pengalaman lebih-lebih lagi jika tempat tersebut belum pernah anda kunjungi. Anda akan mendapat banyak pengetahuan baru, mempelajari budaya, dan corak kehidupan masyarakat di sana. Sepanjang perjalanan itu juga anda tentu dapat melihat banyak perkara yang akan membantu anda untuk berfikir.

 

Menonton Berita Di Televisyen


Rancangan berita TV selama 1 jam atau ada juga yang setengah jam ini amatlah bermanfaat kerana segala inti pati berita dalam dan luar negara dirangkumkan di dalam berita. Tambahan pula visual yang ada banyak membantu anda untuk berfikir dan mengetahui perkembangan serta maklumat dari seluruh pelusuk negara.