Isu pengangguran di
kalangan siswazah lepasan universiti di negara kita sememangnya sudah menjadi
isu yang hangat diperkatakan sejak dulu lagi. Mengikut stastik terbaru pada
tahun 2019,
‘’Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan pada suku pertama
2019, negara merekodkan seramai 516,600 penganggur. Pada masa sama, seramai
238,286 penganggur termasuk 174,327 siswazah, mendaftar sebagai pencari
kerja aktif dengan JobsMalaysia di bawah Jabatan Tenaga Kerja (JTK)
Semenanjung.’’ Dipetik dari Berita Harian Online Ahad,
7 Julai 2019 .
Jika dilihat dari
statistik ini memperlihatkan bahawa kadar pengangguran dikalangan siswazah
masih menjadi masalah yang sering berlaku pada setiap tahun. Persaingan untuk mengisi
jawatan kosong bukan sahaja berlaku dikalangan siswazah menganggur malah mereka
juga bersaing dengan lepasan sekolah menengah dan mereka yang sudah
berpengalaman dalam bidang pekerjaan selama bertahun-tahun.
Sebelum melakukan
pencarian pekerjaan, sebenarnya perancangan strategi dan persediaan yang cukup
rapi haruslah dilakukan untuk menjamin hasil yang baik.
Masalah Utama Siswazah Gagal Dalam Permohonan Kerja
Sememangnya banyak
penyebab atau masalah yang menyukarkan pemohon berjaya dalam permohonan kerja
selain daripada pemohon terlalu memilih kerja dan tangga gaji, di sini
disenaraikan 3 masalah utama yang memang dihadapi oleh kalangan siswazah dan
penganggur. Antara masalah utama yang dihadapi ialah:
1. Resume Yang Tidak Menarik
Seperti yang
diketahui umum resume atau Curriculum Vitae (CV) mewakili diri kita sehingga
berjaya dipanggil untuk temuduga. Resume haruslah menarik, lengkap dan padat
dan tidak perlu panjang sehinggakan memuatkan maklumat yang tidak releven untuk
jawatan yang dipohon. Kesilapan teknikal dan tatabahasa dalam membuat resume
akan memberi gambaran negatif terhadap diri kita sehinggakan pihak syarikat
tidak berminat untuk memanggil untuk temuduga.
Terdapat banyak laman
web yang tersedia dalam menghasilkan resume terbaik yang boleh adaptasikan.
Seharusnya pemohon lebih peka untuk mencari maklumat dalam menghasilkan resume
yang terbaik dan serta mendapatkan tips yang berguna. Pastikan resume / CV
tidak mempunyai kesalahan teknikal atau ejaan, maklumat yang teratur dan
menarik, sesuai dengan jawatan yang dipohon serta tidak terlalu panjang.
2. Masalah Dalam Berkomunikasi
Selalunya komunikasi merupakan masalah yang dihadapi oleh kebanyakkan siswazah dalam
temuduga kerja contohnya gagal berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris sekiranya
temuduga dijalankan dalam Bahasa Inggeris menyebabkan calon tidak lancar dalam
menjawab soalan yang diajukan. Ini termasuk pertuturan yang tidak jelas, ayat
yang tidak tersusun, dan terlalu gementar sehingga tidak dapat bertutur dengan
sempurna kerana kurang keyakinan serta lemah dalam Bahasa Inggeris.
Dalam menghadapi
masalah komunikasi ini, calon haruslah meningkatkan tahap penguasaan Bahasa
Inggeris dan kemahiran berkomunikasi, serta tingkatkan keyakinan diri agar
dapat menghadapi temuduga. Latihan yang berkesan serta menghadiri kursus-kursus
dalam berkomunikasi juga akan membantu dalam meningkatkan keyakinan diri.
3. Tidak Bersedia Semasa Hadir Sesi Temuduga
Perancangan dan
persediaan merupakan elemen penting sebelum menghadiri temuduga. Persiapan rapi
dari segi fizikal dan mental, penampilan dan pengetahuan dalam bidang dipohon
serta latihan akan membantu menghadapi temuduga.
Kurangnya persediaan
menyebabkan penemuduga mengganggap calon tidak berminat dengan organisasi serta
jawatan yang dipohon kerana bersikap sambil lewa dan mengambil mudah sesi
temuduga tersebut seolah-olah tidak memerlukan jawatan tersebut.
Seharusnya calon
haruslah perbaiki gaya dan penampilan diri supaya lebih berkeyakinan dan
menarik, membuat latihan yang cukup serta membuat kajian dengan lebih
terperinci tentang jawatan dan organisasi yang dipohon.