Baru-baru ini tular di media sosial berikutan penyakit HFMD yang berlaku di
beberapa negeri. Untuk mengetahui tentang penyakit ini kita harus memahami apa
itu sebenarnya penyakit tangan, kaki dan mulut atau hand, foot and mouth disease
(HFMD).
Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) adalah penyakit jangkitan
kanak-kanak bawah 10 tahun di mana lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki
dan dalam mulut. Tekak dan tonsil membentuk ulser kecil manakala tangan, kaki
dan kawasan diaper (lampin) dijangkiti ruam dengan ciri-ciri vesikel (lepuhan
kecil). Biasanya penyakit ini sederhana dan ruam sembuh dalam masa 5-7 hari.
HFMD disebabkan oleh virus (kumpulan enterovirus). HFMD merebak dari
individu ke individu dengan kontak secara langsung melalui lelehan hingus, air
liur, najis dan cecair ruam dari mereka yang dijangkiti.Sama ada orang dewasa
mahupun kanak-kanak boleh dijangkiti, tetapi kanak-kanak di bawah 5 tahun
adalah paling mudah dijangkitinya.
HFMD selalunya terjadi dalam kelompok kanak-kanak yang ditempatkan bersama.
Ia merebak melalui tangan yang tidak dicuci bersih selepas melakukan penukaran
lampin atau tersentuh air liur (drool) yang mana membolehkan virus berpindah
daripada satu kanak-kanak ke kanak-kanak lain.
Tanda dan Gejala
Ciri-ciri klinikal termasuk:
·
Demam
·
Sakit Tekak
·
Ulser pada tekak, mulut dan lidah
·
Ruam dengan vesikel (lepuhan kecil 3 – 7 mm) pada tangan, pergelangan
tangan, kaki dan kawasan diaper (lampin). Vesikel lazimnya pada tapak tangan
dan tumit kaki dan ia antara ciri-ciri kemunculannya
·
Sakit kepala
·
Hilang selera makan
Komplikasi
·
Biasanya tidak serius tetapi sebilangan kecil kes didapati merbahaya bila
melibatkan sistem saraf dan jantung
Rawatan
Diagnosis dibuat oleh kebanyakan pengamal perubatan berdasarkan ciri-ciri unik
munculnya lepuhan pada mulut, tangan dan kaki bagi kanak-kanak yang kelihatan
sihat. Tiada rawatan khusus bagi jangkitan selain dari rawatan mengurangkan
gejala-gejala. Rawatan menggunakan antibiotik tidak berkesan dan tidak
diperlukan. Acetaminophen boleh digunakan bagi merawat demam.
Aspirin tidak seharusnya digunakan pada kanak-kanak bawah 12 tahun semasa
demam disebabkan virus. Air garam bagi membilas mulut (1/2 sudu garam bagi 1
gelas air suam) boleh melegakan kanak-kanak sekiranya mereka berupaya membilas
mulut tanpa menelannya kerana tertelan air garam boleh menyakitkan.
Nasihat kepada Ibu Bapa / Penjaga
Ibu bapa / penjaga adalah diminta mendapatkan nasihat daripada doktor
secepatnya jika anak mereka mendapat tanda-tanda HFMD. Mereka seharusnya peka
kepada sebarang perubahan tingkahlaku anak-anak mereka seperti kerengsaan dan
mengantuk. Jika mereka tidak mahu minum atau makan, muntah berterusan, atau
mengantuk, ibu bapa / penjaga hendaklah segera membawa anak mereka ke hospital.
Elakkan menghantar anak yang mempunyai gejala seperti di atas ke sekolah, pra
sekolah atau nurseri. Sapu dan bersihkan hidung serta mulut anak dengan tisu
dan buang tisu yang telah digunakan dengan sempurna.
Pencegahan
Pencegahan melibatkan penjagaan kebersihan yang sepenuhnya. Ahli keluarga
dinasihatkan supaya dapat mematuhi amalan kebersihan yang sempurna termasuk
kerap mencuci tangan supaya dapat mengawal rebakan jangkitan.
·
Amalkan mencuci tangan secara konsisten menggunakan air bersih dan sabun
sebelum menyediakan makanan, selepas keluar tandas, selepas menukar lampin dan
mencuci najis.
·
Menutup mulut dan hidung bila batuk dan bersin.
·
Tidak menggalakkan berkongsi pakaian, tuala, perkakas makanan dan minuman
serta mainan.
·
Ibu bapa / penjaga hendaklah memastikan diri mereka bersih terlebih dahulu
sebelum menguruskan anak atau bayi mereka.
·
Bersihkan mainan, kerusi dan meja yang tercemar dengan air liur anak.
Anak-anak hendaklah dijauhkan
daripada tempat awam yang sesak (seperti sekolah, pra sekolah, tempat mainan,
pasar dan pengangkutan awam) sekiranya mereka mempunyai tanda-tanda jangkitan.Sumber :Portal MyHEALTH