4 Feb 2018

PANDUAN CARA PENGELUARAN KWSP BAGI BAYARAN BALIK PINJAMAN MARA

Bagi para peminjam MARA yang telah habis pengajian, mungkin ada yang belum mengetahui bahawa pengeluaran melalui KWSP boleh dibuat untuk membayar pinjaman anda. Ramai peminjam yang masih belum melunaskan pinjaman mereka disebabkan tidak mengetahui kemudahan yang telah disediakan oleh KWSP bagi memudahkan peminjam membuat bayaran. Seperti juga dengan pinjaman PTPTN, KWSP juga telah memberikan kemudahan seperti pengeluaran yang boleh dibuat secara online sahaja, mudah, cepat dan pantas. Berikut adalah cara dan panduan untuk membuat permohonan pengeluaran KWSP secara online.


CARA PENGELUARAN KWSP UNTUK PEMBAYARAN PINJAMAN MARA

Berikut adalah cara-cara mudah untuk membuat permohonan pengeluaran melalui KWSP untuk pembayaran pinjaman MARA. Tetapi pastikan anda mempunyai akaun KWSP untuk membuat permohonan ini dan bagi mereka yang sudah berkerja yang mempunyai caruman di KWSP.


Langkah 1 Daftar i-Akaun 
Anda dikehendaki membuka dan mendaftar i-Akaun KWSP secara online sekiranya belum mempunyai i-Akaun. Sila lawati dan daftar i-Akaun di sini www.kwsp.gov.my. Kepada yang sudah mempunyai i-Akaun sila teruskan ke langkah 2.

Langkah 2 Semak e-Baki MARA
Peminjam MARA dikehendaki untuk menyemak baki pinjaman mereka di e-Baki MARA untuk mendapatkan no. Akaun MARA dan Baki Pinjaman Pelajaran yang lengkap. Semakan e-Baki MARA ini boleh dibuat di laman web rasmi MARA atau diklik di sini http://apps.mara.gov.my/ebakiv2/. Sekiranya ada peminjam yang belum mempunyai akaun e-Baki boleh mendaftar akaun mereka di link ini juga.

Langkah 3 e-Pengeluaran KWSP
Setelah itu anda bolehlah log masuk ke i-Akaun KWSP di bahagian Pengeluaran, anda boleh klik Permohonan Baru. Sila pastikan semua bahagian lengkap diisi dan paling penting pastikan kursus yang dinyatakan adalah sama seperti yang tercatat didalam skrol supaya tidak timbul sebarang masalah. Kemudian isikan No. Akaun MARA diruang "No. Rujukan Pelajar".

Langkah 4 Status Permohonan
Setelah selesai mengisi semua borang dan menghantar permohonan, status permohonan akan dimaklumkan oleh KWSP melalui SMS atau Mesej Sekuriti secara Inbox di i-Akaun anda. Status permohonan akan diketahui dalam tempoh 4 hingga 14 hari bekerja selepas permohonan dibuat.

Langkah 5 Pengesahan KWSP
Setelah status permohonan berjaya, anda dikehendaki hadir ke Pejabat KWSP  untuk membuat pengesahan dengan membawa dokumen sokongan yang diperlukan dan diberitahu oleh pihak KWSP nanti. Untuk maklumat lanjut bolehlah berhubung dengan mana-mana cawangan KWSP di negeri masing-masing.